5 Tempat Percutian di Indonesia yg wajib anda tahu
Jika dilihat di peta dunia, cukup berbeza saiz negara Malaysia dengan Indonesia, keluasannya meliputi sehingga 17,000 buah pulau! Cukup luas, tidak mungkin dapat habis melawat segalanya walau dalam masa setahun.

Sebagai sebuah negara yang memiliki banyak pulau, Indonesia merupakan antara destinasi percutian yang mudah untuk dikunjungi oleh rakyat Malaysia.
Kali ini kami senaraikan 5 lokasi menarik di Indonesia yang banyak dimuat naik di instagram oleh para traveler.
Taman Negara Rinjani

Dengan ketinggian 3,736 meter, Gunung Rinjani merupakan gunung tertinggi di Indonesia. Lelah dan penat selepas melalui jalan yang mencabar untuk ke puncak gunung ini pastinya hilang sebaik saja melihat keindahan yang terbentang di depan mata.
Sewaktu pendakian, anda boleh berehat seketika dan menikmati pemandangan indah di Tasik Segara Anak yang menyajikan kolam air panas. Setibanya di puncak, anda bakal menyaksikan puncak tertinggi di Bali nun di seberang lautan – Gunung Agung.
Pulau Raja Ampat, New Guinea

Terdiri dari sekitar 1600 buah pulau tidak berpenghuni, kepulauan Raja Ampat menawarkan pengalaman menyelam skuba antara yang menarik di dunia.
Hanya mulai terkenal di kalangan pelancong sejak beberapa tahun ke belakang, kepulauan Raja Ampat pastinya menjadi lokasi idaman bagi para penyelam skuba dan penggemar aktiviti snorkeling dengan berbagai hidupan marin dan rangkaian terumbu karangnya yang unik.
Prambanan, Jogjakarta

Antara tarikan utama di Jogjakarta adalah Chandi Prambanan yang dibina pada kurun ke 10 sewaktu pemerintahan 2 raja iaitu Rakai Pikatan dan Rakai Balitung.
Chandi yang memiliki ketinggian 47 meter (5 meter lebih tinggi dari Chandi Borobudur) menjadi simbol kegemilangan pemerintahan dan agama Hindu yang pernah dianuti di Pulau Jawa ini pada satu ketika dahulu. Terletak 17 km dari pusat bandar, chandi ini menjadi sebahagian dari tarikan utama di sini.
Taman Negara Komodo, Nusa Tenggara

Komodo adalah sebuah pulau yang dihuni oleh sekitar 2000 penduduk. Pada satu ketika dulu Komodo merupakan lokasi hukuman buang daerah ke atas pesalah yang melakukan jenayah. Dengan keluasan 390km persegi dan merupakan sebahagian dari Taman Negara Komodo, pulau ini terkenal dengan binatang pra sejarah yang masih wujud di sini iaitu biawak Komodo.
Tasik Tempe, Makassar

Bandar Sengkang yang terletak mengadap tasik ini merupakan pusat pemerintahan bagi kerajaan Bugis satu ketika dulu. Sehingga ke hari ini adat, budaya dan kesenian Bugis masih terlihat jelas dan dipelihara dengan baik antaranya – pakaian tradisi Bugis yang berwarna warni, tenunan sutera secara tradisional serta adat perkahwinan dan tarian Bugis.
Di Tasik Tempe juga anda berpeluang melihat dan merasai suasana tinggal di rumah bot tradisional dan melihat beberapa spesies burung liar yang terdapat di sini.
Jangan buang masa lagi!

Spot-spot untuk anda mendapatkan gambar-gambar yang luar biasa unik sedang menanti kedatangan anda sekeluarga!
Selamat bercuti ke Indonesia!
Disclaimer:
1. Your personal data will be used to process your order, support your experience throughout this website, and for other purpose described in our privacy policy and term of use
2. Individual results may vary, and testimonials are not claimed ti represent typical results.
3. All trademarks mentioned here are copyrighted by their respective owners

